SUNGAI PETANI – Polis menahan 10 lagi lelaki yang dipercayai terlibat menimbulkan kekecohan semasa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Merbok sehingga menyebabkan kecederaan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata tangkapan itu sekali gus menjadikan keseluruhan 14 lelaki berumur lingkungan 20 hingga 50-an ditahan polis untuk membantu siasatan kes itu.
“Sepuluh lelaki ini ditahan di sekitar daerah Kuala Muda ini antara pukul 11 malam hingga 2 pagi tadi. Namun, seorang lelaki berumur lingkungan 50-an telah dibebaskan dengan jaminan polis atas sebab kesihatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Adzli berkata 13 lelaki itu pula direman tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh.
Semalam Adzli dalam laporan media dipetik sebagai berkata kekecohan itu berlaku antara 12 hingga 12.30 tengahari dengan seorang individu cedera pada bahagian kepala dan telah dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim di sini.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop dalam satu sidang media malam tadi memaklumkan semua proses pengundian pemilihan PKR di Kedah dibatalkan atas faktor beberapa isu berbangkit manakala pemilihan yang dijadualkan berlangsung di Perak dan Perlis hari ini ditangguhkan. – BERNAMA