KULAI – Hanya selepas 30 minit cuba melarikan diri daripada polis dengan turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki polis, dua lelaki warga asing dipercayai terbabit dalam kes samun akhirnya maut ditembak, awal pagi ini.
Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki yang menaiki Proton Waja dikesan polis kira-kira jam 4.15 pagi di Taman Manis di sini, sebelum memecut kenderaan melarikan diri sehingga ke Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke FELDA Sayong di sini.
Dalam jarak dua kilometer itu, beberapa das tembakan dilepaskan oleh suspek dari dalam kereta berkenaan, selain turut menggesel dan cuba merempuh Proton Wira dinaiki polis yang mengejar mereka.
Bagi mempertahankan diri, anggota polis turut melepaskan tembakan ke arah suspek, sebelum kereta suspek terbabas akibat berlanggar kenderaan dinaiki polis dan kemudian dua suspek itu ditemui maut dalam kereta mereka.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kenderaan dinaiki suspek itu dikesan dalam Operasi Rantau cegah jenayah yang dijalankan D9, Bukit Aman dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor.
Katanya, sebaik dikesan dan ditahan polis, kenderaan suspek terus merempuh kereta dinaiki polis dan memecut laju sejauh dua kilometer.
“Suspek melepaskan beberapa tembakan dan untuk mempertahankan diri, kita turut melepaskan tembakan sehingga tiada lagi ancaman kepada anggota polis.
“Apabila kereta mereka terbabas, pemeriksaan dalam kenderaan itu kita menemui dua lelaki disyaki penjenayah warga asing, tumpas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Turut berada di lokasi kejadian, Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow.
Menurut Mohd Kamarudin, siasatan mendapati kedua-dua suspek itu dipercayai terbabit dalam kes samun sekitar Johor terutamanya di Johor Bahru, Pontian, Kulai dan kawasan sekitar yang aktif sejak enam bulan lalu.
“Di Johor, tahun ini sahaja, 50 kes samun direkodkan membabitkan warga asing dan dengan tumpasnya dua suspek ini, kita percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun termasuk terbaharu yang berlaku di Pontian, semalam.
“Kita akan menjalankan siasatan lanjut terhadap aktiviti kedua-dua suspek yang berusia 30-an ini dan mengesan suspek lain atau kes lain yang membabitkan mereka,” katanya.
Semakan lanjut, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya mendapati kenderaan digunakan suspek adalah kenderaan curi yang dilaporkan di Taman Pelangi, Johor Bahru, dan pihaknya turut menjumpai sepucuk pistol Revolver, parang, topeng ski dan sarung tangan.
Katanya, tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian itu, namun kenderaan dinaiki polis terdapat kesan tembakan dan mengalami kerosakan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan kedua-dua mayat suspek dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, untuk bedah siasat,” katanya. – BH ONLINE
*Sekadar Video Hiasan..