SONG – Seramai 297 orang hilang tempat tinggal selepas rumah panjang didiami, Rumah (RH) Dagum, Nanga Makut, Sungai Katibas di sini, musnah terbakar pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Superintenden (ASP) Balie Jelian berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu telah memusnahkan keseluruhan rumah panjang yang mempunyai 32 pintu itu.
Beliau berkata, api marak begitu pantas telah menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta-benda.
“Rumah panjang ini diperbuat daripada papan dan kayu menyebabkan api begitu pantas merebak memusnahkan keseluruhan bangunan.
“Penduduk hanya sempat menyelamatkan diri tanpa membawa harta-benda, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, jarak rumah panjang yang terletak di pedalaman iaitu hampir 2 jam perjalanan menaiki perahu panjang dari pekan Song, menyukarkan pihak bomba membantu kebakaran.
Katanya, pihak polis bersama pegawai dari Pejabat Daerah Song, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Song serta Jabatan Kebajikan Masyarakat kini dalam perjalanan untuk memberikan bantuan kepada mangsa.
Tambahnya, ketika ini, penduduk terlibat ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bedil, Katibas sementara menunggu bantuan yang sewajarnya. – UTUSAN ONLINE