ATHENS – Sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dihempap batu tebing yang runtuh di pantai terkenal, Navagio, pulau Zakynthos di sini.
Walau bagaimanapun kata pihak berkuasa, kecederaan yang dialami tidak serius dan tiada mangsa yang hilang namun mereka menempatkan aset udara dan air di kawasan berkenaan.
Selain itu pencarian turut dilakukan untuk memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah batu berkenaan.
Rakaman video yang disiarkan dalam laman sesawang Proto Thema menunjukkan pengunjung pantai bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas sebahagian batu tebing pantai itu runtuh.
Beberapa bot kecil turut terbalik dipukul ombak kuat yang terhasil semasa batu berkenaan jatuh. – Reuters