SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura menggantung lesen sebuah agensi pekerjaan dan memberi amaran akan mendakwa syarikat itu kerana menyiarkan iklan menawarkan amah Indonesia untuk dijual.
Iklan yang disiarkan di talian itu mencetuskan kemarahan di Indonesia yang menganggap ia menghina golongan itu.
Singapura menjadi tempat kerja 250,000 amah, kebanyakannya berasal dari kawasan miskin di Indonesia atau Filipina.
Mereka memilih republik itu kerana menawarkan kadar gaji lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan di tempat sendiri.
Iklan berkenaan menggunakan tajuk ‘maids.recruitment’ dilaporkan menawarkan khidmat beberapa pembantu rumah dari Indonesia manakala beberapa yang lain menyatakan ada amah yang ‘dijual.’
Ini menimbulkan kemarahan di Indonesia dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Migrant Care membidasnya selain menyifatkannya sebagai tidak adil dan menghina.
Iklan berkenaan kemudian dibuang daripada laman terbabit di talian.
Kementerian Buruh Singapura dalam kenyataannya memaklumkan lesen agensi pekerja SRC Recruitment LLP telah digantung.
Ini bermakna ia tidak lagi boleh menawarkan amah kepada penduduk dan pihak berkuasa melakukan siasatan untuk tujuan pendakwaan. – AFP