AMPANG – Seorang mekanik didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku salah mengaibkan kehormatan bekas teman wanitanya.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Omar Aliff Rosli, 32.
Jika gagal membayar denda itu, tertuduh berhadapan hukuman penjara enam bulan.
Muhammad Omar Aliff didakwa mengaibkan kehormatan mangsa berusia 36 tahun sehingga mengganggu kesantunan wanita itu dengan cara mengubahsuai gambarnya sebagai ‘perempuan sundal’.
Gambar itu kemudian dihantar kepada wanita itu melalui aplikasi WhatsApp.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BH Online