PENYANYI dan pelakon, Amy Mastura berpendapat tidak salah jika selebriti melakukan gimik bagi mempromosikan produk baharu mereka untuk mendapat perhatian umum.
Bagaimanapun, Amy atau nama sebenar Amy Mastura Suhaimi, 46, berkata dia tidak mampu mengikut rentak atau trend tersebut.
“Bagus juga… sebab gimik itu merupakan cara mereka nak ketengahkan produk masing-masing dan ia adalah sebahagian strategi mereka.
“Kadang-kadang menjadi dan tengok macam mana cara mereka kawal situasi tersebut dalam usaha nak naikkan diri.
“Benda ini bergantung pada mereka, nak buat gimik atau tidak. Tapi kalau tanya akak, akak tak mampu buat macam tu,” katanya kepada mStar Online.
Amy ditemui ketika sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 31 (ABPBH31) di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sebelum ini beberapa penyanyi muda menggunakan gimik bagi memperomosikan lagu baharu mereka antaranya Nabila Razali, Haqiem Rusli dan Daiyan Trisha.
Setelah 25 tahun bergelar anak seni, penyanyi lagu Warna Warni Dunia ini memberitahu dia sentiasa menjaga hubungan baik dengan peminat.
Malah, dia selalu turun padang menyertai aktiviti bersama peminat dan berkomunikasi sesama mereka di laman sosial.
“Ada peminat tubuhkan Amy Mastura Fan Club (AMFC) dan daripada situ kami selalu anjurkan aktiviti bersama.
“Saya tak kisah sesiapa pun boleh join kelab peminat ini, kita bebas dan kalau ada yang nak mengikuti program bersama boleh sahaja.
“Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang tak henti-henti menyokong. Mereka ini sentiasa ada menceriakan hidup saya,” ujarnya. – mStar Online