KUALA LUMPUR – Aplikasi yang terhasil di pertandingan Hackaton Data Terbuka 2018 berkemungkinan dikomersialkan, kata Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Pengarah Bahagian Kerajaan Digital MAMPU, Dr Yusminar Yunus berkata keputusan penuh pertandingan itu akan diumumkan dalam satu majlis khas pertengahan November depan.
Beliau berkata pertandingan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membangun dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat seiring dengan kehadiran revolusi perindustrian 4.0.
“Aplikasi yang dihasilkan daripada program ini tidaklah terhenti begitu sahaja, tetapi diharapkan dapat dikomersialkan.
“Di samping itu, kita ingin memupuk dan membangunkan usahawan digital yang akan menggunakan teknologi untuk menghasilkan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Bernama pada sesi penilaian pertandingan di Cyberjaya, baru-baru ini.
Siri Hackaton Data Terbuka 2018 iaitu platform pertandingan pembangunan aplikasi atau produk data secara berterusan tanpa henti selama 168 jam telah diadakan pada 18 hingga 24 Sept lalu.
Menurut MAMPU, penganjuran bertujuan menerapkan budaya pembangunan aplikasi dalam talian dikalangan masyarakat tempatan.
“Pertandingan ini juga diharap dapat menjadi contoh penggunaan dan manfaat teknologi disruptif dalam mengubah landskap model pengurusan perniagaan konvensional,” tambah Yusminar.
Seramai 185 peserta mengambil bahagian terdiri daripada 63 kumpulan, masing-masing daripada kategori sektor awam, universiti dan industri serta pelajar sekolah, bagi merebut hadiah menarik berupa wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM60,500. – BERNAMA