SEREMBAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri-negeri disaran supaya menubuhkan pasukan khas yang dikenali sebagai ‘Volatile Incident Phase & Emergency Response Team’ (VIPER) yang mampu bertindak dengan segera dalam apa juga bentuk insiden kecemasan dan bencana, mahu pun yang melibatkan insiden gangguan ketenteraman awam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Roslan Wahab berkata sudah sampai masanya APM mengorak langkah menambah baik serta mempertingkatkan keupayaan kumpulan anggotanya bagi membentuk satu pasukan khas yang berbeza dan berwibawa.
“Kita telah tubuhkan pasukan VIPER ini di Negeri Sembilan dan saya harap negeri-negeri lain juga mengambil langkah yang sama menubuhkan pasukan khas masing-masing di peringkat negeri.
“Penubuhan pasukan khas ini adalah sejajar dengan transformasi APM secara keseluruhannya. Penubuhan pasukan khas ini adalah amat bertepatan dalam memastikan APM dapat bersifat responsif dalam menghadapi situasi bencana dan ketenteraman awam yang semakin kompleks serta tidak mempunyai pola yang khusus,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengarah APM Negeri Sembilan Lt. Kol. (PA) Fazlisyah Muslim.
Beliau sebelum ini melancarkan penubuhan pasukan khas APM Negeri Sembilan yang dikenali sebagai VIPER dan penyerahan watikah pelantikan Yang di-Pertuan Agong kepada 19 orang pegawai Skim Keselamatan Pertahanan Awam APM Negeri Sembilan yang diketuai Fazlisyah.
Roslan berkata APM sebenarnya telah mempunyai pasukan khas dikalangan pegawai tetap yang dikenali sebagai ‘Special Disaster & Emergency Response Team’ (SPIDER).
Bagaimana pun, katanya pasukan khas ini mempunyai bilangan anggota yang terhad serta mereka ditempatkan di lokasi yang agak berjauhan antara satu sama lain.
“Jika berlakunya apa-apa insiden yang memerlukan tidak balas SPIDER, mereka menghadapi masalah bagi memastikan pasukan mereka dapat berkumpul serta bertindak dengan cepat dan tangkas bagi menangani sesuatu kes tersebut.
“Oleh itu, penubuhan VIPER ini yang terdiri dikalangan anggota APM adalah amat membantu melengkapi pasukan SPIDER untuk bertindak di mana-mana juga lokasi insiden yang berlaku di dalam negeri,” katanya.
Katanya penugasan pengoperasian APM disetiap daerah ditunjangi oleh Anggota Sukarela Tugas Operasi (ASTO) di mana pasukan ini akan bertindak balas terhadap apa juga kes kecemasan 999, kes khidmat kemanusiaan dan kes bencana yang berlaku di daerah.
“Saya melihat bahawa dengan penubuhan VIPER dikalangan mereka akan dapat meningkatkan lagi tahap keupayaan perkhidmatan APM disetiap daerah di Negeri Sembilan, sama ada melibatkan kes-kes kecil mahu pun, kes-kes yang kompleks yang memerlukan kepakaran serta kemahiran yang tinggi dikalangan anggota yang terlibat.
“Saya optimis penubuhan pasukan VIPER di Negeri Sembilan akan pasti menjadi ‘benchmark’ terhadap penubuhannya di negeri-negeri lain pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Fazlisyah berkata pasukan VIPER dianggotai seramai 27 orang anggota yang berjaya terpilih.
Katanya mereka telah dilatih merentasi keupayaan fizikal dan mental yang lasak dan padat selama tiga minggu secara berterusan. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..