WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, ‘mengesahkan’ bahawa Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusaha mengurangkan risiko kehilangan nyawa penduduk awam di Yaman.
Ia adalah langkah utama dalam memastikan sokongan berterusan AS kepada campur tangan pakatan tentera Arab di negara itu.
Penilaian Pompeo, diumumkan semalam, dibuat ketika beliau mengaku bahawa AS percaya kadar kematian penduduk awam di tangan tentera pakatan ‘amat tinggi’.
Menurut undang-undang baru, Kongres memerlukan pengesahan untuk terus membenarkan tangki udara mengisi minyak pesawat tempur Arab Saudi dan UAE.
Langkah itu diambil susulan siri serangan berprofil tinggi pasukan pakatan yang mengorbankan ramai penduduk awam, kebanyakannya kanak-kanak.
Dalam kenyataan, Pompeo mengesahkan Arab Saudi dan UAE mengambil langkah boleh dibuktikan untuk mengurangkan risiko membahayakan penduduk awam dan infrastruktur awam susulan operasi tentera kerajaan terbabit.
Pada 1 September lalu, pakatan mengaku kesilapan dibuat dalam serangan udara Ogos lalu yang mengorbankan 40 kanak-kanak.
Dalam laporan yang diperoleh AFP, Pompeo menjelaskan bahawa AS mengaku kadar kematian penduduk awam pada kadar amat tinggi dalam kempen pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman’. – AFP/BH ONLINE