WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan 10 peratus tarif ke atas barangan import China bernilai RM829 bilion (AS$200 bilion) semalam sekali gus meningkatkan perang dagangan dengan negara gergasi ekonomi dunia itu.
Namun, pengecualian diberikan kepada barangan teknologi pengguna seperti jam pintar keluaran Apple dan Fitbit selain produk seperti topi keledar basikal dan kerusi keselamatan kanak-kanak.
Trump dalam satu kenyataan berkata, pusingan baru tarif itu memberi amaran kepada China supaya tidak bertindak balas terhadap petani mahupun industri AS atau mereka akan terus melaksanakan fasa ketiga iaitu tarif ke atas import tambahan bernilai AS$267 bilion (RM1.1 trilion).
Sekiranya pentadbiran Trump meneruskan pusingan tarif terbaru ini, Apple dan pesaingnya berkemungkinan tidak lagi terkecuali.
Kutipan tarif akan bermula pada 24 September tetapi kadarnya akan meningkat kepada 25 peratus menjelang akhir 2018, membolehkan syarikat AS menyesuaikan rantaian bekalan mereka ke negara-negara alternatif, kata seorang pegawai kanan pentadbiran.
Setakat ini, Amerika Syarikat sudah mengenakan tarif ke atas produk bernilai AS$50 bilion (RM207 bilion) dari China bertujuan memberi tekanan kepada negara itu untuk membuat perubahan besar dalam perdagangan, pemindahan teknologi dan dasar subsidi industri berteknologi tinggi.
Trump menaikkan tarif ke atas China selepas perbincangan di antara dua ekonomi terbesar dunia itu untuk menyelesaikan perbezaan perdagangan mereka menemui jalan buntu.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin minggu lalu menjemput pegawai kanan China untuk mengadakan pusingan perbincangan baru, namun setakat ini tiada sebarang pertemuan dijadualkan. – Reuters