NEW YORK – Artis genre Pop Punk terkenal, Avril Lavigne semalam mengumumkan bakal melancarkan lagu terbarunya selepas lima tahun berdepan maut bertarung dengan penyakit Lyme.
Penyanyi dan pemain gitar kelahiran Kanada yang mula masyhur di pentas hiburan dunia pada 2000 itu berkata beliau akan melancarkan lagu pertamanya pada 19 September ini sebelum album penuh menyusul.
Lavigne yang menulis kepada peminatnya di laman web berkata, lagu berjudul ‘Head Above Water’ adalah gambaran perjuangannya ketika menulis dalam keadaan lemah dan tiada upaya.
“Saya terima hakikat kematian dan dapat merasakan tubuh semakin hilang upaya sedikit demi sedikit. Saya berasa seperti lemas. Seperti semakin tenggelam dan hanya perlu keluar untuk mendapatkan udara. Seolah berada di dasar sungai yang ditarik arus deras,” katanya.
Lavigne menyifatkan beberapa tahun kebelakangan ini sebagai tempoh paling teruk dalam hidupnya.
“Tetapi, saya dapat mengubah perjuangan itu menjadi muzik yang cukup membanggakan saya.”
Penyanyi berusia 33 tahun, yang terkenal dengan lagu “Girlfriend” dan “Complicated,” pada mulanya enggan membincangkan mengenai penyakitnya.
Tetapi, dia mahu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit Lyme, yang disebarkan akibat gigitan kutu dan boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk serta ketidakupayaan untuk bergerak.
Album terakhirnya berjudul Avril Lavigne diterbitkan pada 2013 dan beliau belum mendedahkan tarikh album terbarunya akan dilancarkan. – AFP