JIKA Malaysia jadi bahan ketawa komuniti bisnes antarabangsa kerana ‘patah balik’ laksana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ganti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), lain hal di Bahrain.
Negara Islam tersebut mengesahkan bakal mewartakan GST dalam tahun ini, sekali gus jadi negara ketiga di Teluk Parsi setelah Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sudah bermula secara rasmi pada 1 Januari lepas.
Menurut pakar percukaian global, David Stevens, pelaksanaan GST di Bahrain atau disebut Cukai Nilai Tambah (VAT) dengan kadar ditetapkan lima peratus merupakan rangka kerja enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Ramai pihak bahkan jangka Qatar, Oman dan Kuwait akan melaksana GST mulai awal tahun depan selaras dengan persetujuan bersama semua negara majlis tersebut untuk mewajibkan cukai berkenaan hanya dalam masa setahun.
“Pihak berkuasa di negara-negara terlibat sudah pun sibuk promosi sistem GST terhadap semua peniaga selepas cuti panjang sempena perayaan Hari Raya Aidiladha pada akhir Ogos lalu sebagai usaha persiapan awal,” kata Stevens.
Isu tersebut turut dipersetujui Ketua Pegawai Eksekutif Morison MJS Tax Consultancy, Surandar Jesrani yang yakin baki tiga buah negara berkenaan bakal mewartakan GST dan memansuhkan SST menjelang tarikh 1 Januari 2019.
Baca: GST Mula Lonjak Ekonomi Arab Saudi Jadi Lebih Baik – IMF
“Bahrain sebenarnya tiada masalah besar, namun perancangan asal untuk pelaksanaan VAT mulai 1 Oktober depan difahamkan terpaksa ditunda kepada beberapa bulan lagi sebelum diikuti oleh Oman dan Kuwait,” kata beliau.
Kerajaan Kesultanan Oman dilaporkan mengumumkan GST di negara itu akan diwartakan pada pertengahan 2019, manakala Parlimen Kuwait pula perlu undi bagi kelulusan cukai tersebut ketika sesi persidangan hujung tahun ini.
Berdasarkan kajian firma percukaian antarabangsa EY, pelaksanaan GST bakal memberi pendapatan bukan sumber petroleum dengan lebih AS$25 bilion (kira-kira RM104 bilion) setahun untuk enam negara anggota GCC terbabit.
Hasil tambahan berkenaan dijangka membolehkan kerajaan-kerajaan negara Islam tersebut akan dapat pinda dasar percukaian yang lebih mesra pelabur asing dan pada masa sama meningkatkan usaha pelaburan prasarana awam.
Cukai kepenggunaan itu yang turut dilaksanakan di 160 buah negara kerana lebih telus dan gagal ditiriskan peniaga tidak jujur, malah menyelamatkan ekonomi Arab Saudi daripada hanya bergantung kepada sumber minyak mentah.
Uniknya pelaksanaan VAT di Arab Saudi yang ambil idea dari model GST Malaysia, mula letak negara terbesar Asia Barat itu di landasan tepat pemulihan ekonomi sejajar pelan tranformasi Wawasan 2030. – Agensi/Mynewshub.TV