MELAKA – Seorang datuk yang menjaga dua cucunya yang masih kecil bersendirian, merayu anaknya iaitu ibu kepada kedua-dua cucu itu agar pulang ke rumah untuk membantunya menjaga mereka berdua.
Pesara tentera itu Mohamad Nor Jantan, 59, berkata beliau dan isterinya Ramlah Hassan mula menjaga cucu sulungnya Muhammad Mukhriz Ruesyaidi, 9, sebaik dilahirkan di Hospital Melaka kerana ketika itu, anaknya Nurhidayah Ahmad baharu berusia 18 tahun dan tidak mampu untuk menjaganya.
Katanya beliau mula menjaga cucu keduanya Muhammad Adam Mikail Abdullah, 8, pula sejak cucunya itu berusia enam bulan selepas dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan di Pahang akibat didera teman lelaki wanita berkenaan dan disahkan doktor mengalami lumpuh otak.
“Tidak ada apa lagi yang mampu pakcik harapkan selain ingin melihat cucu-cucu pakcik ini terutama Adam (Muhammad Adam Mikail) dapat diuruskan dengan baik. Hendak sembuh sepenuhnya tidak mungkin kerana doktor telah sahkan Adam akan lumpuh sepanjang hidupnya,” kata bapa angkat kepada Nurhidayah yang membesarkannya sejak kecil itu.
Beliau ditemui pada program Lawatan Kasih, Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha dan Naib Ketua Wanita PKR Dr Daroyah Alwi di kediaman Mohamad Nor di Kampung Bukit Rambai di sini, hari ini.
Mohamad Nor berkata sejak isterinya meninggal dunia pada Ogos tahun lepas beliau terpaksa menguruskan Muhammad Adam Mikail seorang diri untuk menjalani fisioterapi kerana anaknya tidak pernah pulang menjenguk kedua-dua kanak-kanak berkenaan.
“Sebelum ini pakcik akan membawa Adam ke Hospital Melaka untuk fisioterapi dengan menaiki motosikal bersama isteri yang akan memangkunya. Sekarang ini agak sukar untuk membawanya tanpa pertolongan orang lain. Selain itu, pakcik juga sukar bergerak atau bekerja jauh dari rumah kerana tiada siapa yang menjaganya,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersyukur dengan bantuan Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang banyak membantu beliau meneruskan kelangsungan hidup bersama dua cucunya itu.
Sementara itu, Muhammad Mukhriz Ruesyaidi berkata dia turut mengharapkan kepulangan Nurhidayah untuk menjaga dia dan adiknya, selain merindui wanita berkenaan walaupun tidak dapat mengingati rupa paras ibunya.
“Pulanglah emak…duduk dengan kami dan atuk, jaga adik. Kesian kat atuk jaga kami sorang-sorang,” kata murid darjah empat dari Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai di sini.
Dalam pada itu, Haniza berkata PKR akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membaik pulih rumah Mohamad Nor yang using serta dimakan anai-anai bagi memberi keselesaan kepada keluarga berkenaan khususnya untuk Muhammad Adam Mikail selain mengatur semula sesi fisioterapinya dengan kehadiran jurupulih ke kediaman keluarga itu.
“Selain itu, kita akan melihat juga dari segi kebajikan lain dan aspek pendidikan untuk dua kanak-kanak ini agar mereka tidak terabai dan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. – BERNAMA