SHAH ALAM – Bekas ADUN Selangor yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam direman dua hari bermula hari ini kerana disyaki terbabit kes salah guna kuasa lebih RM50,000 pada tahun lalu.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin membenarkan permohonan itu selepas suspek yang berusia 56 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam kira-kira jam 10.40 pagi ini.
Peguam ADUN tersebut, Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, terdahulu SPRM memohon reman selama tujuh hari tetapi dibantah pihaknya.
ADUN wanita itu disiasat SPRM membabitkan dakwaan suspek melantik sebuah syarikat milik anaknya sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN)
Suspek sebelum itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 5.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan. – UTUSAN ONLINE