KUALA LUMPUR – Jerayawara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) atau Bernama Roadshow 2018 dijangka diperluaskan ke universiti terpilih di sekitar Lembah Klang, hujung tahun ini.
Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional Bernama Norena Yaacob berkata cadangan memperluas jerayawara itu akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi Bernama.
“Sekiranya ia diadakan, jerayawara ini bakal memberi lebih banyak pendedahan tentang Bernama, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan khususnya kepada penuntut yang mengambil jurusan komunikasi massa.
“Dalam jerayawara itu, mereka (mahasiswa) boleh mencuba bakat sebagai pembaca berita dan sedikit sebanyak diberi pendedahan awal tentang dunia kewartawanan serta penyiaran,” katanya pada siri jerayawara di pusat beli-belah Sunway Putra, di sini, hari ini.
Jerayawara Bernama yang memasuki hari ketujuh itu turut mengadakan beberapa aktiviti interaktif antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, uji bakat pembaca berita bagi Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio bermula 11 pagi hingga 4 petang.
Bernama Roadshow 2018 adalah program kerjasama antara Jabatan Niaga, Bernama Radio dan BNC yang menjelajah ke beberapa lokasi antaranya di Lot 10 Jalan Bukit Bintang, Jakel Mall di Jalan Munshi Abdullah serta Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Taman Botani Shah Alam akan menjadi lokasi terakhir program bagi acara larian Bernama Gembo-Gembo Run yang bakal diadakan 22 Sept ini. – BERNAMA