BEIJING – China mesti bersikap jujur mengenai nasib sejuta etnik minoriti Islam yang ditangkap dalam operasi besar-besaran pihak berkuasa di wilayah Xinjiang, kata kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International (AI) semalam.
Dalam laporan baharu yang turut menampilkan keterangan mereka yang pernah ditahan di kem-kem tersebut, AI berkata, Beijing melancarkan kempen penahanan beramai-ramai, pengintipan, indoktrinasi politik dan asimilasi budaya secara paksaan.
Menerusi kempen itu, etnik Uighur dan penduduk minoriti Islam lain dihukum kerana melanggar peraturan seperti menyimpan janggut dan memakai purdah selain memiliki kitab suci al-Quran, tambahnya.
Sebuah panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (AS) mengenai diskriminasi melaporkan pada bulan lalu bahawa sehingga sejuta orang Islam ditahan di kem-kem tahanan, malah ramai ditangkap kerana melakukan kesalahan kecil seperti menghubungi anggota keluarga di luar negara dan berkongsi meraikan perayaan umat Islam di media sosial.
“Beratus-ratus ribu keluarga terpisah akibat operasi besar-besaran ini,” kata pengarah AI untuk Asia Timur, Nicholas Bequelin dalam satu kenyataan.
“Mereka terdesak untuk mengetahui apa yang berlaku kepada orang yang mereka sayang dan tiba masanya untuk pihak berkuasa (China) memberikan jawapan kepada mereka,” tambahnya.
Beijing menafikan laporan mengenai kem tahanan tersebut tetapi bukti semakin menimbun dalam bentuk dokumen pemerintah dan keterangan mereka yang berjaya melepaskan diri.
Laporan itu membayangkan bahawa pihak berkuasa China sedang menahan orang awam di rangkaian kem tahanan politik dan budaya dalam skala besar yang tidak pernah dilihat sejak era pemerintahan pemimpin komunis, Mao Zedong.
Beijing meningkatkan sekatan terhadap etnik minoriti Islam untuk memerangi apa yang disifatkannya sebagai fahaman Islam ekstrem di wilayah Xinjiang.
Bagaimanapun, penduduk beragama Kristian turut dijadikan sasaran operasi besar-besaran itu dengan sebuah gereja utama ditutup oleh pihak berkuasa awal bulan ini. – AFP/BH ONLINE