IPOH – Walaupun baru berusia 13 tahun, Iman Alisha Fakhri Yassin membuktikan dirinya mampu bersaing dengan gimnas yang lebih berpengalaman dalam acara gimrama di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.
Bertubuh kecil dengan berat badan 31 kilogram, ia jelas memberi kelebihan kepada gimnas Wilayah Persekutuan itu untuk memperagakan aksi memukau sekali gus membawa pulang satu emas dalam acara berpasukan, satu perak (belantan) dan satu gangsa (gelung) pada penampilannya kali ini.
Alisha yang juga cucu kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dia mula mengenali sukan itu sejak berusia lima tahun selepas mengikut kakaknya, Iman Suraya berlatih.
“Saya suka gimrama sebab sukan ini buat saya lebih berdisiplin. Ia sangat menyeronokkan. Tapi saya tahu, gerakkan saya masih belum sempurna. Bagaimanapun, saya tetap gembira dan lega selepas berjaya meraih satu emas dan dua perak.
“Insya-Allah saya akan berusaha untuk memperbetulkan lagi persembahan saya,” katanya yang amat mengagumi kejayaan rakan sepasukannya, Rayna Hoh yang membolot kesemua empat emas dalam acara individu hari ini.
Malah, dia menganggap Rayna bagaikan kakak kerana tidak pernah lokek dalam memberi tunjuk ajar kepadanya.
Justeru, dia berharap mampu mengikuti jejak langkah Rayna mewakili negara satu hari nanti jika berpeluang.
Gemar membuat kek dan pastri serta bercita-cita untuk membuka kedai kek sendiri satu hari nanti, Alisha berkata, dia tidak mengamalkan diet dalam kehidupannya.
“Biarpun kek adalah kegemaran saya, ia bukan satu masalah untuk saya mengawal berat badan kerana apa yang penting bagaimana mengawal jumlah kuantiti makanan yang diambil,” katanya. – BH Online