SEGAMAT – Helah seorang lelaki dengan mendakwa rumah dipecah masuk sehingga cincin emas milik ibunya hilang, terbongkar apabila siasatan polis mendapati dia mencuri cincin terbabit.
Lelaki berusia 22 tahun itu menipu ibunya sehingga memaksa wanita berkenaan membuat laporan polis, namun sebenarnya cincin emas itu dicurinya sebelum dipajak.
Siasatan ke atas laporan palsu yang dibuat itu membawa kepada penahanan suspek berkenaan di sekitar Jementah di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata ibu suspek yang berusia 50-an pada mulanya membuat laporan polis malam tadi selepas mendapati cincin emas miliknya yang bernilai kira-kira RM500, hilang.
“Wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Jementah selepas suspek mendakwa rumah mereka dipecah masuk menyebabkan cincin itu hilang.
“Namun, pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan dan pemeriksaan menyeluruh di rumah berkenaan mendapati sesuatu mencurigakan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, hari ini.
Beliau berkata, ibu suspek kemudian menghubungi lelaki itu dan memintanya pulang ke rumah bagi membantu siasatan polis, namun suspek enggan.
“Susulan itu, kita mengesan suspek dan menahannya kira-kira jam 1 pagi ketika minum bersama tiga lelaki berusia antara 14 hingga 20 tahun,” katanya.
Raub berkata, siasatan terhadap suspek, dia mengaku menipu ibunya dan menyuruh wanita itu membuat laporan polis kerana bimbang tembelangnya mencuri cincin emas itu terbongkar.
“Suspek mencuri cincin milik ibunya beberapa hari sebelum disedari wanita itu dan kemudian memajak gadai barangan kemas itu di sebuah kedai pajak di sini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki yang bersama suspek kerana disyaki membantu suspek memajak barangan kemas itu, selain disyaki terbabit dalam tiga kes pecah rumah di sekitar Jementah, beberapa minggu sebelumnya.
Raub berkata, siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai sebagai ketua kepada tiga lagi rakannya itu dan akan memberikan sejumlah komisen pada setiap barangan curi yang berjaya dijual.
“Suspek juga disyaki menggunakan telefon bimbitnya untuk melayari laman web dengan melakukan pertaruhan wang tunai melalui mesin kemasukan tunai (CDM) di sebuah bank tempatan.
“Dia dikatakan bercadang menebus semula cincin yang digadai bagi memperoleh laba tunai hasil pertaruhan dalam judi talian,” katanya.
Beliau berkata, tiga lagi suspek lain yang juga warga tempatan tidak mempunyai pekerjaan tetap, turut ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 kerana pecah rumah. – BH Online