KUALA LUMPUR – Dataran kompleks beli-belah Sogo sekali lagi menjadi lokasi pilihan bagi jerayawara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) atau Bernama Roadshow 2018 yang memasuki hari kelima selepas ia mendapat sambutan amat menggalakkan pada hari pertama diadakan.
Menurut Eksekutif Editorial Kanan Bahagian Jualan Nasional Bernama Asmanizan Ahmad Najib, jumlah pengunjung yang tinggi di kompleks beli-belah terkemuka itu mampu menarik orang ramai mendekati agensi berita itu selain memperkenalkan produk dan perkhidmatannya.
“Hari pertama roadshow pada 29 Ogos lalu, kami memperolehi sekitar 400 pengunjung dan walaupunhujan pada hari ini, kami tetap teruskan. Kita jangka pengunjung tidak akan berkurangan kerana Sogo merupakan antara lokasi paling strategik untuk kami dekati lebih ramai pengunjung,” katanya di sini, hari ini.
Antara pengisian jerayawara hari ini ialah pengedaran Jalur Gemilang bersempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 Sept selain giat mempromosikan platform media sosial Bernama, Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio.
Uji bakat penyampai radio dan pembaca berita Bernama turut diadakan bagi mengisi kekosongan kedua-dua jawatan berkenaan yang diterima baik para pengunjung.
Seorang pengunjung Nur Syahirah Safaruddin, 23, lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak melepaskan peluang menjalani uji bakat pembaca berita Bernama.
“Saya tahu mengenai Bernama. Saya ikuti instagram Bernama sebab semua info ada. Saya baca sebab ringkas, jadi senang nak tahu semua isu semasa. Hari ini saya tengok ada uji bakat jadi saya mahu mencuba nasib untuk menjadi sebahagian daripada penyampai maklumat kepada orang ramai,” katanya.
Bernama Roadshow 2018 adalah program kerjasama antara Jabatan Niaga, Bernama Radio dan BNC yang menjelajah ke tujuh lokasi antaranya di Lot 10 Jalan Bukit Bintang, Jakel Mall di Jalan Munshi Abdullah dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Lokasi jerayawara yang seterusnya adalah di pusat beli-belah Sunway Putra pada 12 dan 13 Sept ini dengan pengisian terbaru iaitu demonstrasi mekap dan tutorial hijab buat para pengunjung.
Lokasi terakhir adalah di Taman Botani Shah Alam bersempena dengan program larian Bernama Gembo-Gembo Run yang bakal diadakan pada 22 Sept. – BERNAMA