MELAKA – Bukan setakat merompak wang tunai dan barangan kemas, sekumpulan penyamun mencederakan dan memaksa sepasang warga emas menelan pil tidur di rumah mereka di Kilometer 12, Kampung Pernu, di sini, malam tadi.
Akibatnya, Alias Simin, 67, dan isterinya, Mariam Mahmud, 66, tidak sedarkan diri selama kira-kira 18 jam selepas kejadian.
Saksi kejadian yang juga anak saudara mangsa, Mohd Norsham Majid, 33, berkata suspek dilihat berada di dalam rumah mangsa sejak jam 6.50 petang semalam.
Dia yang langsung tidak mengesyaki perkara buruk cuma beranggapan individu yang datang itu mungkin kenalan ibu saudaranya.
“Rumah saya dan rumah Mak Long (Mariam) hanya bersebelahan dan saya melihat ada sebuah kereta PERODUA Axia berwarna perak di garaj hadapan rumah.
“Malah, ketika melalui rumah Mak Long saya ternampak kelibat suspek berbaju putih dan berkopiah sedang duduk diam di sofa. Saya pun tidak syak apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Mohd Norsham berkata, isterinya ada memberitahu terdengar bunyi pintu kereta ditutup kuat sebelum kenderaan itu beredar selepas 10 minit dia keluar membeli juadah untuk makan malam.
“Sejurus pulang dari kedai dan meletakkan kereta di bawah garaj, saya terdengar suara Pak Long (Alias) memanggil meminta tolong dari arah pintu rumahnya.
“Apabila masuk, saya lihat Mak Long lemah tidak bermaya, terbaring di atas lantai depan pintu rumah dalam keadaan terikat.
“Kedua-dua mereka (mangsa) memberitahu diacu pisau, dipukul, diikat dan dipaksa menelan pil tidur oleh penjenayah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu sudah sedarkan diri dan masih dirawat di Hospital Melaka.
“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai lebih daripada seorang dan menggunakan pisau pemotong sayur untuk mengugut mangsa.
“Kedua-dua mangsa kemudian diikat dan dipaksa menelan masing-masing tiga biji pil tidur bersaiz besar dan kecil menyebabkan mereka tidak sedarkan diri selepas itu. Wang tunai RM3,000 dan dua telefon bimbit turut hilang,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata. – BH Online