KUALA TERENGGANU – Walaupun musim duku baru sahaja bermula di Terengganu namun pengusahanya boleh menarik nafas lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memeterai perjanjian untuk memasarkan 1,000 tan metrik buah itu ke pasaran seluruh negara dengan harga lantai RM1.50 sekilogram.
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata duku keluaran Terengganu akan dipasarkan ke beberapa bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang melalui 1,500 rangkaian MyFarm Outlet dan Agrobazar, pasar tani dan pasar raya di seluruh negara.
“Selain pembelian FAMA ini, pengusaha masih boleh menjual secara terus kepada orang ramai dan ini akan memberi pulangan lumayan kepada mereka, apatah lagi jangkaan pengeluaran duku dalam tempoh panjang bermula bulan ini hingga Disember akan menstabilkan harga duku di pasaran.
“Jangka hayat duku ini sangat singkat, sehubungan itu proses pengedarannya perlu dilakukan dengan pantas. Dari segi rangkaian logistik hingga ke pasar raya, semuanya perlu dilakukan dengan pantas agar duku yang dipasarkan tidak mudah rosak,” katanya kepada pemberita selepas dialog dengan pengusaha duku Terengganu di sini hari ini.
Beliau berkata duku Terengganu mempunyai keistimewaan tersendiri dan sangat terkenal suatu ketika dahulu kerana ciri-ciri seperti isinya yang manis dan kenyal, bijinya kecil dan sejuk apabila dimakan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata kerajaan negeri akan terus memperkasakan penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian di negeri ini.
“Terdapat kira-kira 12,000 hektar tanah terbiar di seluruh Terengganu setakat ini dan hasil tinjauan saya apabila turun padang mendapati tidak ramai golongan belia yang tahu mengenai kemudahan sokongan disediakan kerajaan seperti dari aspek teknikal, kewangan, bimbingan dan khidmat nasihat untuk mereka serius dalam bidang pertanian.
“Sedangkan permintaan terhadap produk pertanian di Terengganu masih sangat jauh daripada keperluan yang mencukupi contohnya sawi, kira-kira 1.2 juta penduduk Terengganu memerlukan empat tan sehari setiap hari sedangkan pengeluaran hanya dua tan sahaja.
“Begitu juga keperluan makanan lain seperti ayam, kita masih mendapatkannya dari negeri lain, sebab itu kerajaan negeri perlu lebih kerap mendekati golongan belia dan memberi penerangan kepada mereka untuk serius menerokai peluang ekonomi dalam bidang ini,” katanya. – BERNAMA