JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merangka gerak kerja penambahbaikan bagi Elaun Sara Hidup (ESH) Nelayan, di mana maklumatnya akan disertakan dalam laporan akhir kementerian yang dijangka siap pada pertengahan Oktober.
Selepas itu, laporan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan untuk diperhalusi sebelum dibentangkan pada pengumuman bajet pada awal November nanti, kata Menterinya Datuk Salahuddin Ayub.
“Ketika ini kita sedang menyiapkan gerak kerja penambahbaikan ESH bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar merupakan nelayan sahaja yang akan menerima bantuan ini. Ini bagi mengelakkan sebarang bentuk ketirisan.
“Kita juga sedang memikirkan cara-cara yang lebih baik untuk membantu golongan ini dengan memperkenalkan inisiatif yang lebih baik dan efisien,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Tani Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Pengusaha Cili Malaysia, di sini, hari ini.
Proses pemutihan ESH sudah dimaklumkan oleh Salahuddin sebelum ini sebagai cara untuk memastikan hanya mereka yang berkelayakan sahaja memperoleh manfaat itu.
Proses ini difahamkan akan membabitkan seramai 55,000 penerima di seluruh negara. – BERNAMA