KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, rancangan popular Gegar Vaganza (GV) menampilkan kelainan dengan penyertaan tiga peserta berkumpulan antara 12 peserta yang bakal bersaing menerusi musim kelima itu.
Mereka ialah kumpulan Elite, Forteen dan pasangan duo Billy Zulkarnain yang akan memberi persaingan kepada peserta solo lain.
Musim terbaharu ini juga memperlihatkan dominasi peserta wanita termasuk penyanyi terkenal era 1990-an iaitu Amelina, Safura Yaakob, Maya Ruslee dan Noryn Aziz.
Turut bertanding, Farawahida, Hetty Sarlene dan Dia Fadilla.
Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani dan Shafie (Rio) mewakili peserta solo lelaki.
Senarai itu diumumkan oleh pihak Astro menerusi sidang media yang diadakan pada petang Rabu.
GV5 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 30 September ini secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat sini.
Ia akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam.
GV5 masih mengekalkan Jihan Muse dan Nabil Ahamd sebagai hos manakala pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim akan duduk di kerusi juri tetap.
Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.
Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3) dan Aishah (GV4). – Mstar