PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan berkata emir Qatar telah menghadiahkan sebuah jet persendirian bernilai sekitar AS$500 juta.
Isu sekitar pemberian jet mewah ini mencetuskan kontroversi apabila dipersoalkan sama ada ia hadiah atau dibayar oleh kerajaan atau pihak lain.
Erdogan berkata Syeikh Tamim al-Thani mendermakan jet Boeing 747-8i itu kepada Turki selepas mendengar Turki berminat untuk membelinya.
Ahli Parlimen pembangkang Turki menyuarakan keprihatinan berhubung kemungkinan presiden menggunakan wang pembayar cukai pada masa Turki sedang berusaha mengelakkan masalah kewangan.
Pemberian jet ini menunjukkan hubungan rapat antara Turki dan Qatar yang saling menyokong satu sama lain dalam krisis.
Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir, dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar ekoran hubungan baiknya dengan Iran dan dakwaan menyokong pengganas, dakwaan yang dinafikan Doha.
Turki menghantar makanan melalui laut dan udara ke Qatar untuk mengelakkan kekurangan bekalan di pasaraya negara Teluk itu selepas satu-satunya laluan darat ditutup dan kapal ke Qatar diharamkan di banyak pelabuhan.
Pesawat Boeing 747-8i itu disifatkan oleh laman The Drive sebagai “pesawat persendirian terbesar dan termahal di dunia” semasa diumumkan hendak dijual bulan lalu.
Pesawat itu dilaporkan hanya dihantar kepada Qatar pada 2015, selepas melalui proses pengubahsuaian untuk membawa hanya 76 penumpang, dan bukan kapasiti asal 400 penumpang.
Pengubahsuaian termasuk membina bilik untuk aktiviti rasmi emir, bilik mesyuarat, tempat duduk kelas pertama dan juga hospital.
Sejurus pesawat itu mendarat di Turki, ahli parlimen pembangkang menyampaikan soalan menuntut Naib Presiden Fuat Oktay mendedahkan sama ada pesawat itu dibeli oleh kerajaan.
Erdogan berkata emir Qatar menghadiahkan pesawat itu kepada Turki setelah mengetahui Turki berminat membelinya.
“Beliau berkata: ‘Saya tidak akan mengambil wang dari Turki. Saya hadiahkannya kepada Turki,'” kata Syeikh Tamim menurut Erdogan.
Bulan lalu, emir Qatar meluluskan sebuah pakej ekonomi, pelaburan dan deposit bernilai AS$15 bilion untuk menyokong ekonomi dan mata wang Turki. – Agensi/Mynewshub.tv