BERLIN – Presiden Tayyip Erdogan yang bakal mengadakan lawatan ke Jerman menggesa negara itu mengisytiharkan gerakan Fethullah Gullen sebagai pengganas selepas cubaan mereka untuk merampas kuasa pada tahun 2016.
Jerman sebelum ini menolak permintaan berkenaan dengan berkata mereka memerlukan lebih banyak bukti untuk mengaitkan jaringan penyokong kumpulan terbabit yang digelar Turki sebagai Pertubuhan Pengganas Gulen (FETO) dengan cubaan rampasan kuasa itu.
“Harapan utama kami terhadap kerajaan persekutuan Jerman ialah mengiktiraf FETO sebagai bertanggungjawab untuk cubaan rampasan kuasa itu, seperti dilakukan Britain,” kata Erdogan seperti dipetik laman web akhbar Frankfurter Allegemeine Zeitung.
Hubungan antara Ankara dan Berlin menjadi buruk selepas kegagalan rampasan kuasa di Turki yang menyaksikan penahanan ramai rakyat Jerman.
“Kami akan meneruskan misi meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan. Demi kemakmuran dna masa depan kedua-dua negara, marilah kita meningkatkan persetujuan bersama dan mengurangkan masalah (yang ada),” katanya.
Selepas beberapa tahun pertumbuhan pesat ekonomi negara, Turki kini berdepan krisis kewangan susulan peningkatan jumlah hutang asing akibat kejatuhan nilai lira sebanyak 40 peratus tahun ini berikutan tindakan Presiden Donald Trump melaksanakan sekatan sebagai membantah penahanan seorang paderi mereka di negara terbabit.
Jerman menjadi kediaman kepada tiga juta rakyat berketurunan Turki.
Ankara berang dengan tindakan Berlin memberi perlindungan suaka kepada individu didakwa sebagai perancang rampasan kuasa manakala pihak berkuasa Jerman pula tidak berpuas hati dengan pengaruh Erdogan ke atas rakyat berketurunan Turki di negara itu. – Reuters/BH ONLINE