STRASBOURG – Ketua Diplomatik Kesatuan Eropah (EU) semalam mengecam tindakan Myanmar memenjarakan dua wartawan Reuters, beberapa jam selepas ikon demokrasi terjejas negara itu, Aung San Suu Kyi mempertahankan layanan terhadap tertuduh.
Sebuah mahkamah Myanmar memenjarakan Wa Lone dan Kyaw Soe Oo selama tujuh tahun kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi negara itu ketika melaporkan krisis Rohingya.
Perbicaraan kedua-duanya dilihat secara meluas cubaan mendiamkan media dan hukuman tegas wartawan terbabit menarik kritikan antarabangsa.
Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini mengulangi gesaan pembebasan segera dan tanpa syarat wartawan berkenaan, mengatakan mereka tidak dibicarakan dengan adil.
“Ramai pemerhati melihat perbicaraan itu sebagai ujian kebebasan media, demokrasi dan peraturan perundangan negara berkenaan. Agak jelas ujian itu gagal. Hukuman itu juga menjejaskan wartawan lain yang bimbang ditangkap atau didakwa kerana melakukan tugas mereka,” kata Mogherini kepada Parlimen Eropah.
Terdahulu, Suu Kyi, pemimpin de facto Myanmar, menyelar kebimbangan meluas antarabangsa berhubung perbicaraan itu, mencabar pengkritik menunjukkan di mana wujud ketidakadilan dan menegaskan mereka dibicarakan di ‘mahkamah terbuka.’
Bercakap dalam Forum Ekonomi Dunia di Hanoi semalam, Suu Kyi berkata, tindakan keras tentera terhadap minoriti Islam itu, disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘genosid’, ‘sepatutnya diuruskan dengan baik.’
Operasi pembersihan diketuai tentera Myanmar Ogos tahun lalu menyebabkan 700,000 Rohingya lari ke Bangladesh membawa kisah rogol, pembunuhan dan pembakaran kampung oleh polis dan tentera.
Parlimen Eropah semalam menggesa wartawan terbabit dibebaskan dan menggesa sayap eksekutif blok itu, Suruhanjaya Eropah, mengkaji keistimewaan perdagangan diberi kepada Myanmar apabila ia beralih kepada pemerintahan demokrasi pada 2015. – AFP/BH ONLINE