KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd dijangka menyelesaikan audit forensik dan siasatan antarabangsa ke atas enam urus niaga dan pelaburan pada akhir tahun.
Pengerusinya, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata pada masa ini, syarikat sedang menunggu untuk khidmat nasihat dari segi perundangan ke atas empat daripada siasatan itu yang telah selesai.
“Kami perlu menunggu mungkin beberapa minggu untuk mendapatkan nasihat peguam, berikutan siasatan bukan hanya melibatkan peguam tempatan, tetapi juga dari United Kingdom.
“Setakat yang kami ketahui, kami hanya boleh mengambil tindakan sivil berbanding tindakan jenayah di mana kami boleh membuat tuntutan bagi kerosakan dan kerugian,” katanya kepada pemberita pada taklimat media khas di sini hari ini.
Setakat ini, siasatan ke atas empat daripada enam urus niaga dan pelaburan itu telah selesai.
FGV, dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, berkata siasatan yang telah selesai ke atas empat urus niaga itu adalah, pembelian Asia Plantations Ltd, pelaburan FGV dalam FGV Cambridge Nanosystems Ltd, dan pembelian dua kondominium Troika yang terletak berhampiran Menara Berkembar Petronas.
Selain itu, Lembaga Pengarah turut menjalankan siasatan dalaman ke atas enam perkara lain yang termasuk dalam tiga kategori.
Kategori itu ialah membuka barisan kredit, amalan urus niaga pembelian yang lemah dan jualan minyak sawit yang lemah sehingga menyebabkan hutang mencecah RM100 juta; pemberian langsung kontrak pemerolehan yang melanggar amalan terbaik; dan kekurangan pekerja yang kritikal antara Mei 2016 dan April 2018 yang menyebabkan kerugian melebihi RM170 juta dalam tempoh tersebut.
Sementara itu, Azhar berkata individu yang terlibat dalam siasatan itu termasuk anggota Lembaga Pengarah dan pekerja pengurusan.
“Sama ada anda anggota Lembaga Pengarah atau pengurusan, anda mempunyai keperluan atau tanggungjawab untuk menjalankan tugas yang sewajarnya untuk melindungi kepentingan FGV,” katanya.
Ditanya sama ada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad dan bekas Pengerusi Tan Sri Mohd Isa Samad antara individu yang disiasat, Azhar berkata:
“Ia bergantung kepada nasihat yang diterima oleh FGV. Lembaga Pengarah mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan syarikat. Oleh itu, kami perlu mengambil tindakan, sama ada ia melibatkan Datuk Zakaria, perkara itu belum diputuskan,” katanya, sambil menambah siasatan itu turut melibatkan pengarah sebelum ini.
“Sesiapa yang kami dapat kenal pasti mempunyai kaitan secara langsung kepada alasan untuk siasatan, kami akan menamakan (mereka) kemudian,” katanya.
Ditanya sama ada Zakaria mengetahui mengenai taklimat media hari ini berikutan beliau tidak kelihatan pada program itu, Azhar berkata Zakaria mengetahui mengenai pertemuan hari ini.
“Beliau sedang menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah di Turki dengan Ketua Pegawai Kewangan (Ahmad Tifli Mohd Talha),” katanya.
Menyifatkan siasatan itu sebagai “proses yang menyakitkan”, Azhar berkata apa yang penting bagi syarikat pada masa ini adalah menumpukan kepada pelan pemulihan untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi kewangan FGV. – BERNAMA