SETELAH berjaya mendapat sambutan luar jangkaan pada tahun lepas, Pertandingan Reka Cipta Iklan Komersial 2018 kembali sekali lagi khusus untuk disertai penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Perniagaan (BPP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kali ini mengenengahkan 11 jenama produk tempatan yang menjadi pilihan pengguna di pasaran.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pemasaran Produk Perusahaan Kecil dan Sederhana, BPP KPDNHEP, Yasser Arafat Zainal Rashid, tahun lalu sejumlah 658 penyertaan diterima bagi pertandingan julung kali itu melibatkan 139 video dan 519 poster.
“Kali ini kita berharap akan menerima lebih banyak penyertaan, atas permintaan pelbagai pihak termasuk penaja maka tarikh tutup pertandingan dilanjutkan seminggu iaitu sehingga 22 Oktober 2018 agar lebih ramai penuntut IPT dapat terlibat seterusnya sebagai salah satu inisiatif berterusan Kementerian ini dalam mempromosikan produk Buatan Malaysia,” katanya.
Beliau ditemui Mynewshub pada majlis penyerahan kit pertandingan itu kepada 11 wakil syarikat terbabit yang disempurnakan oleh Pengarah BPP KPDNHEP, Ismainur Hadi Amat Bakeron di Kementerian tersebut di Putrajaya baru-baru ini.
Mengulas lanjut Yasser Arafat berkata, pertandingan tahun ini agak unik dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’ sejajar tema Hari Kebangsaan 2018, bagi memupuk minat pengguna membeli produk atau barangan Buatan Malaysia selain mengasah bakat penuntut IPT dalam karya kreatif.
“Selain hadiah wang tunai untuk para pemenang yang ditawarkan pihak kementerian, syarikat terlibat turut menaja hadiah sampingan kepada peserta yang mampu menghasilkan iklan terbaik mengenai produk mereka,” jelas beliau.
Dua kategori disediakan dengan hadiah utama, kategori poster menawarkan wang tunai RM2,500 untuk pemenang pertama, manakala tempat kedua RM1,500 dan ketiga pula RM800. Manakala bagi kategori video pula hadiah yang lebih lumayan ditawarkan di mana pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM4,000, tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.
Penuntut IPT yang berminat boleh memperolehi maklumat lanjut mengenai pertandingan ini menerusi laman sesawang http://spacedeals.1pengguna.com.
11 jenama produk dipertandingkan iaitu Mismis, Kelly & Kids, Frutissimo, Munif Hijjaz, Merolz, Nang Ori, SWAG, Elhajj, Asianic, Madu B dan DASTO. Lebih menarik, sebahagian jenama ini sudah pun dieksport ke luar negara.
Sekadar makluman, antara objektif pertandingan ialah untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kewujudan banyak produk Buatan Malaysia yang berkualiti serta mampu bersaing dengan produk import di pasaran.
Melalui hasil karya kreatif yang dihasilkan secara tidak langsung ianya dapat mempromosikan jenama produk tempatan selain sebagai platform kepada penuntut IPT menyumbangkan idea serta bakat.
Sedikit sebanyak pertandingan ini turut meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia amnya serta penuntut IPT khususnya untuk lebih mengutamakan pembelian produk tempatan.
Apa yang pasti, menerusi pertandingan ini imej KPDNHEP selaku pemilik cap dagang bagi Logo Buatan Malaysia dapat dipertingkatkan yang mungkin kurang disedari oleh penuntut IPT sendiri selama ini. – Mynewshub.tv