JAKARTA – Jumlah korban akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia, meningkat kepada sekurang-kurangnya 384 orang dengan kebanyakannya maut akibat dihanyut ombak besar ketika bermain di pantai.
Agensi bencana Indonesia menyatakan semua mangsa yang terkorban itu di Palu yang dilanda tsunami besar dan memberi amaran jumlah korban boleh meningkat.
Menurut agensi itu, kira-kira 540 lagi cedera parah.
Menurut pihak berkuasa, gempa susulan masih menggegarkan Sulawesi hari ini, sehingga 100 gegaran sejak semalam, selepas pantai tumpuan pelancong dibadai ombak setinggi enam meter selepas gegaran berskala 7.5 magnitud.
āKetika ancaman tsunami semalam, masih ramai melakukan aktiviti di pantai, tidak segera melarikan diri menyebabkan ramai menjadi mangsa,ā kata jurucakap agensi mitigasi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho dalam taklimat berita di Jakarta.
Menurut Sutopo, ada mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus selepas memanjat pokok setinggi enam meter.
Pihak berkuasa turut mengesahkan beberapa gambar yang menunjukkan mayat disusun sepanjang jalan dan ada di antaranya dimasukkan ke dalam beg serta muka ditutup dengan baju.
Reuters melaporkan, Nugroho memberitahu kemusnahan akibat gempa bumi amat teruk dengan ribuan rumah, hospital dan pusat beli-belah runtuh manakala jambatan dihanyutkan tsunami selain tanah runtuh.
Agensi itu juga masih belum mendapat maklumat mengenai keadaan di bandar perikanan yang hampir dengan pusat gempa. Lebih 600,000 orang tinggal di Donggala dan Palu. – Agensi