PUTRAJAYA – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menyeru pihak berwajib serta agensi penguatkuasa menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menjalankan operasi besar-besaran menghapuskan arak bermutu rendah yang dijual di pasaran.
Beliau berkata pertuduhan jenayah juga harus dikenakan terhadap mereka yang membuat atau mengimport minuman tersebut, manakala premis mereka hendaklah ditutup terus.
“Pemilik premis yang didapati menjual arak jenis itu harus dikenakan kompaun yang berat sebagai pencegahan di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas laporan tentang kejadian keracunan alkohol yang menyebabkan 19 orang maut setakat ini manakala 14 lagi dirawat di hospital.
Mangsa adalah antara 51 orang yang meminum tiga jenama alkohol iaitu Mandalay Whiskey, Kingfisher Beer dan Royal Brand Whiskey yang dibeli daripada beberapa kedai di Lembah Klang pada Isnin.
Menyatakan rasa terkejut mengenai banyak premis di Lembah Klang yang menjual ‘minuman beracun’ itu, Jayakumar berkata :”Sungguh menghairankan bagaimana pihak berkuasa terutama pejabat tanah boleh mengeluarkan permit bagi kedai yang menjual produk bermutu rendah itu dalam jumlah yang banyak.” – BERNAMA