MOSCOW – Serpihan bangkai helikopter yang dilaporkan hilang pada Ahad telah ditemui di kawasan hutan bersama-sama mayat tiga individu yang menaikinya, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan Kementerian Kecemasan Rusia pada Isnin.
Menurut kenyataan bahagian serantau Siberia kementerian itu, para penyelamat tiba di lokasi nahas yang terletak dalam sebuah hutan di wilayah Irkutsk dan menemui serpihan bangkai helikopter jenis Mi-8 serta ketiga-tiga mayat.
Helikopter malang itu telah berlepas dari pekan Ust-Kut pada pagi Ahad untuk melakukan tinjauan udara.
Komunikasi dengan kru helikopter itu terputus tiga jam kemudian.
Kenyataan itu juga menyebut satu suruhanjaya antara jabatan akan menyiasat punca nahas. – BERNAMA