BIDAS… Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan kononnya beliau kecewa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ditangguhkan kerana kroninya terbabit dalam tender kerja berkenaan.
Justeru ujar beliau, dakwaan mengatakan Gamuda Berhad, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), TH Properties Sdn. Bhd. dan YTL Corporation yang terbabit dalam projek HSR konon sebagai kroninya, adalah pelik.
Ini memandangkan pemegang saham keempat-empat syarikat itu memang tiada kaitan dengan diri bekas perdana menteri itu sebaliknya terdapat spekulasi pemaju terbabit ada hubungan dengan kepimpinan kerajaan sekarang.
“Pemegang saham terbesar Gamuda ialah KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), selain Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW). KWSP juga pemilik saham terbesar MRCB.
“Manakala TH Properties memang dimiliki penuh oleh Tabung Haji. YTL pula bukan pun terkenal sebagai ‘kroni’ ataupun proksi saya sejak sekian lama, tetapi sering dikaitkan sebagai rapat dengan seorang individu lain.
“Bagaimana empat syarikat berkenan didakwa sebagai kroni saya, saya pun pelik,” kata Najib dalam hantaran catatan menerusi akaun sosial Facebook rasminya, hari ini sebagai mengulas status isu projek HSR ditunda.
Pada Isnin lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek rel mega tersebut sehingga 31 Mei 2020.
Ketika majlis tandatangani Surat Sampingan HSR pada Rabu lalu, Mohamed Azmin berkata, Malaysia dikehendaki bayar kos S$15 juta (RM45.1 juta) kepada Singapura sebelum Januari tahun depan berikutan penangguhan terbabit.
Mengulas isu ini dengan lebih lanjut, Najib turut mempersoalkan dakwaan Mohamed Azmin dalam ceramahnya semalam, mengatakan kononnya kos projek HSR melambung kerana terdapat banyak elemen rasuah.
Katanya, bagaimana Mohamed Azmin boleh mendakwa banyak unsur rasuah dalam projek berkenaan sedangkan proses tender terbuka antarabangsa yang akan diputuskan bersama Singapura, belum ditutup dan masih berjalan.
“Kepentingan saya dalam projek HSR hanya satu. Saya percaya projek ini ada impak besar kepada masa depan dan ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara, di mana ibu kota untuk dua negara akan dihubungkan.
“Ia bakal dapat saling merancakkan negara masing-masing. Saya harap rakyat boleh selidik dengan sedikit mendalam dan tidak lagi mudah terperdaya dengan propaganda yang tidak berasas.
“Kita bukan ‘uneducated’ (tidak berpelajaran) seperti digelar baru-baru ini oleh Mahathir,” kata Najib dalam nada sindiran merujuk penghinaan perdana menteri itu kepada pengundi Pakatan Harapan. – Agensi/Mynewshub.TV