ALOR SETAR – Polis menahan suspek utama kes samun seorang wanita di dobi layan diri dan kedai runcit 24 jam dalam tempoh berselang 15 minit di Sungai Petani Selasa lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, SAC Mior Farid Al Atrash Wahid.
Beliau berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 30 tahun ketika datang bersama ibunya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, 1.30 petang hari ini.
“Isteri suspek turut ditahan kerana berada di dalam kereta yang dinaiki suspek ketika melakukan kejadian jenayah itu dan polis masih memburu seorang lagi suspek berusia 20-an,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun di kedua-dua premis tersebut seperti mana yang diviralkan di laman media sosial sejak semalam.
Dalam kejadian berkenaan, dua suspek lelaki berkenaan menyamun seorang pelanggan wanita berusia 37 tahun, pada 7 pagi di kedai dobi layan diri 24 jam di Taman Puteri Jaya, Sungai Petani, hingga kerugian RM10,000.
Selang 15 minit kemudian, mereka juga turut menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Ria, Sungai Petani, menyebabkan kerugian RM4,500. – BERNAMA