KUALA LUMPUR – Nama individu yang melakukan salah laku dalam FELDA adalah antara perkara yang akan dimasukkan dalam kertas putih yang akan diusulkan agensi itu kepada kerajaan.
Pengerusi FELDA yang baharu, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata pihaknya juga akan menyenaraikan punca yang menyebabkan agensi itu bergelut dengan masalah kewangan ketika ini.
“Kita akan bagi semua maklumat yang kita temui, termasuk jika ada salah guna dan sebagainya semua akan dimasukkan.
“Bagaimanapun, maklumat mana yang akan digunakan dalam kertas putih FELDA untuk dibentangkan di Dewan Rakyat adalah terpulang sepenuhnya kepada kerajaan,” katanya pada sidang media khas FELDA di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali; Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pengurusan), Datuk Muzzammil Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komoditi), Anuar Malek.
Megat Zaharuddin tidak menolak kemungkinan isu kewangan dialami FELDA ketika ini mungkin berpunca daripada perancangan, tadbir urus dan pelaksanaan yang lemah, selain salah laku.
Bagaimanapun, katanya, maklumat lebih terperinci hanya akan diperoleh selepas pihaknya selesai meneliti setiap aspek dalam agensi berkenaan.
“Selain punca masalah, kami juga perlu mengusulkan langkah pemulihan FELDA, umpamanya dalam kelemahan tadbir urus, satu cara adalah melantik ahli lembaga pengarah baharu yang dibuat ketika ini, dengan tiada seorang pun bersangkut dengan politik.
“Sama ada campur tangan politik antara faktor yang membuatkan FELDA menghadapi masalah sekarang, juga sedang kami teliti.
“Buat masa ini, kami masih cuba memahami siapa yang terbabit serta sejauh mana pembabitan mereka,” katanya.
Pada 9 Ogos lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kertas putih bagi mendedahkan situasi sebenar FELDA dan perancangan strategik pemulihan agensi itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Mesyuarat Kedua sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Pertama Parlimen Ke-14 dijadualkan
bermula 15 Oktober hingga 11 Disember depan. – BH Online