IPOH – Atlet Perak yang berjaya mencapai catatan terbaik peribadi pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 yang akan berlangsung bulan ini bakal diberi insentif tambahan sebagai ganjaran.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata insentif sebanyak RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 akan diberikan kepada atlet individu yang berjaya meraih pingat emas, perak serta gangsa.
Beliau berkata atlet berpasukan pula akan mendapat RM2,500 setiap seorang yang berjaya mendapat pingat emas, RM1,000 pingat perak dan RM500 pingat gangsa.
“Saya memikirkan bahawa sukan mampu mewujudkan semangat kecintaan kepada negara, negeri dan diri sendiri ia juga mampu mendidik keyakinan diri dalam kalangan peminat dan atlet.
“Saya ingin mengajak atlet agar mereka mencabar untuk berlawan diri sendiri bagi mencapai catatan peribadi terbaik dan insentif ini juga akan diberikan kepada atlet yang berjaya memecah rekod,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Negeri Perak di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Faizal menyeru kontinjen negeri melakukan yang terbaik untuk muncul juara keseluruhan dengan memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.
“Pencapaian terbaik kontinjen Perak adalah pada Sukma di Sabah dengan menduduki tempat kedua, jadi lakukan terbaik kali ini agar kita menjadi juara keseluruhan buat julung kalinya,” katanya.
Sukma 2018 akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept dengan mempertandingkan 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah di Perak, melibatkan 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen dari seluruh negara. – BERNAMA