BUTTERWORTH – Seorang pegawai polis dan sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM1,800 daripada seorang pekerja bengkel, dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan Mohd Asri Shahadan, 33, yang merupakan seorang Inspektor polis, anggota polis Sarjan Abdul Aziz Mohamad, 39, dan isterinya Umaiyah Saad, 27, didakwa dengan niat bersama secara rasuah telah menerima suapan sebanyak RM1,800 daripada seorang pekerja bengkel Mohamad Azzamudden Khalid melalui Abdul Aziz.
Tindakan itu sebagai dorongan supaya Mohd Asri melepaskan sebuah motosikal jenama Modenas Dinamik yang berada dalam tahanan Mohd Asri.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Restoran Ali Baba di sini pada jam 12.15 tengah malam, 13 Mei 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Mohamed Nazri memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap setiap tertuduh kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius , bagaimanapun peguam Abdul Roni Abd Rahman yang mewakili pasangan suami isteri itu dan peguam Noor Hisham Ismail yang mewakili Mohd Asri memohon jaminan dikurangkan.
Hakim Nizam Zakaria kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing- masing diiikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 16 Okt depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..