KUALA PERLIS – Jabatan Perikanan Perlis melabuhkan 19 unit tukun tiruan dasar lembut, di perairan Kuala Perlis di sini, bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan di negeri ini.
Pengarahnya, Ismail Ibrahim berkata tukun tiruan seberat 12 tan setiap satu itu, dilabuhkan pada jarak 4.7 batu nautika dari pesisir pantai Kuala Perlis.
Beliau berkata ia akan berfungsi sebagai habitat pelbagai jenis ikan bernilai tinggi seperti kerapu, siakap, jenahak dan merah.
“Kita labuhkan tukun ini pada kedalaman 12.5 meter di dasar lembut yang akan membantu pembiakan hidupan laut dan memelihara ekosistem marin,” katanya kepada pemberita pada selepas program melabuhkan tukun-tukun berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata tukun tiruan bernilai hampir RM300,000 itu juga mampu menangani isu penggunaan pukat tunda haram.
Ismail berkata pada 2009 sebanyak 12 unit tukun tiruan telah dilabuhkan, manakala sebanyak 20 unit lagi diturunkan pada 2010 di perairan itu. – BERNAMA