PORT DICKSON – Jalan Batu 1 di Jalan Pantai akan ditutup semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata jalan itu akan ditutup bermula dari lampu isyarat Shell Gate (Kampung Arab) sehingga lampu isyarat Sekolah Tinggi Port Dickson, iaitu sejauh 3.3 kilometer.
“Penutupan jalan itu akan dibuat dalam dua peringkat dengan peringkat pertama mulai pukul 8 pagi hingga 9 pagi, manakala peringkat kedua mulai pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari setelah proses penamaan calon selesai,” katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya, polis akan menempatkan anggota trafik di sekitar laluan berkenaan bagi membantu melancarkan aliran di sekitar jalan terbabit.
“Pengguna jalan raya diminta supaya merancang perjalanan mereka dan menggunakan laluan alternatif.
“Kami juga memohon kerjasama penduduk setempat supaya mematuhi arahan polis bagi melancarkan proses penamaan calon,” katanya.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. – BERNAMA