ARAU – Akibat tertekan masalah rumah tangga, seorang janda berusia lewat 20-an nekad mengambil dadah kononnya bagi menenangkan fikirannya yang sedang kusut.
Bagaimanapun, ketenangan wanita tersebut tidak lama apabila dia bersama kekasih serta adik lelakinya ditahan selepas didapati positif syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Nyu di sini malam tadi.
Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada 10 individu yang ditahan dalam operasi cegah dadah yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri antara pukul 8 malam sehingga pukul 5 pagi di sekitar daerah ini.
Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, wanita terbabit mengaku sudah bercerai dan dia dipercayai mengambil barang terlarang tersebut akibat tertekan dengan masalah rumah tangga.
“Janda tersebut yang tidak mempunyai anak bersama kekasih dan adik lelakinya itu ditahan ketika sedang melepak di rumah berkenaan. Adik lelaki wanita itu berusia awal 20-an adalah berstatus OKP (Orang Kena Pengawasan) dan operasi malam tadi adalah bertujuan sebagai pemeriksaan rutin kami ke atas dirinya.
“Namun selepas didapati kekasih wanita itu turut berada di dalam rumah, kami turut menjalankan ujian air kencing ke atas mereka berdua dan didapati positif syabu,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, tangkapan itu merupakan kali pertama melibatkan wanita tersebut dan kekasihnya.
Selain itu, Azizah berkata, secara keseluruhan kesemua mereka yang ditahan dalam serbuan tersebut adalah berusia antara 20 hingga 52 tahun.
“Seramai tujuh individu termasuk wanita itu, adik serta kekasihnya ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. Manakala tiga lagi penagih diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Padang Besar kerana masih memiliki barangan terlarang terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE