KUALA LUMPUR – Walaupun kehilangan tangan kiri selepas mengalami kemalangan motosikal pada 2013, namun anak muda ini tidak pernah patah semangat demi negara dan sukan olahraga yang diceburinya iaitu larian jarak sederhana.
Muhamad Ashraf Muhammad Haisham, anak jati Pulau Pangkor, Perak, pernah melakar sejarah negara dengan memecah rekod menggondol emas Sukan Para ASEAN Singapura 2015 (kategori larian 800 meter) dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (kategori 1,500 meter).
“Kenangan paling manis ialah saya memecah rekod kategori larian 800 meter dan menang emas di Singapura ( memecahkan rekod terdahulu 2 minit 5 saat dengan catatan terbaharu 2 minit 3 saat), dan emas bagi 1,500 meter di Kuala Lumpur (memecahkan rekod lama 4 minit 27 saat dengan catatan terbaharu 4 minit 24 saat).
“Walaupun kehilangan tangan kiri pada 2013 tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk berbakti kepada negara dalam sukan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di stadium mini Majlis Sukan Negara (MSN, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Ditanya mengenai insan yang memberi inspirasi untuk beliau terus maju, atlet berusia 22 tahun itu merujuk kepada ibu bapa dan jurulatih yang banyak memberi dorongan serta tunjuk ajar kepadanya.
“Bapa saya (Muhammad Haisham Aziz) dan ibu (Noreha Ismail) adalah insan yang selalu beri dorongan pada saya untuk terus berjuang dalam sukan ini walaupun saya alami kecatatan fizikal kekal.
“Tak dilupakan jurulatih saya ketika sekolah menengah (Hazlisham Haron) dan semua jurulatih pasukan olahraga Malaysia terutamanya R. Jeganathan (ketua jurulatih) juga antara insan yang tidak putus-putus mendorong saya sehingga ke tahap ini,” katanya.
Atlet negara dalam kategori jarak sederhana 400m, 800m dan 1,500m itu turut berkongsi pengalaman dan kisah mengenai kecacatan fizikalnya supaya menjadi inspirasi kepada masyarakat.
“Saya kemalangan motosikal pada Januari 2013 dan saya alami kemurungan kerana saya perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga memaksa saya berlatih menulis menggunakan tangan kanan.
“Tetapi dengan semangat yang gigih dan tidak kenal putus asa, saya belajar menghadapinya (lulus SPM) malahan kehilangan tangan kiri ini tidak pernah membuat saya putus harapan untuk terus berjuang demi negara dalam sukan ini,” katanya.
Muhamad Ashraf yang pertama kali mewakili negara di Sukan Para Asia Jakarta tahun ini dalam acara 1,500m berkata sebagai manusia, jangan pernah mengeluh atas kekurangan diri dan terus berusaha demi menggapai kejayaan.
“Walaupun saya alami kecacatan kekal, saya tahu ramai insan di sisi saya sentiasa menyokong saya dan saya tidak akan menghampakan harapan mereka.
“Saya berazam untuk memecah rekod kategori yang saya sertai kali ini dan membawa pulang pingat emas bagi Malaysia, malahan saya berharap kisah saya menjadi inspirasi kepada masyarakat supaya jangan berhenti berusaha dalam bidang yang kita ceburi,” katanya.
Untuk penyertaan di Sukan Para Asia 2018, seramai 139 atlet akan membawa cabaran negara di Jakarta, Indonesia bermula 6 hingga 13 Okt depan.
Kesemua 18 acara dipertandingkan ialah olahraga, badminton, memanah, boccia, catur, basikal, goal ball, judo, boling padang, powerlifting, menembak, renang, boling, ping pong, bola keranjang kerusi roda, lawan pedang, bola tampar, dan tenis kerusi roda yang membabitkan 19 venue sekitar Jakarta. – BERNAMA