ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menumpaskan penyeludupan rokok putih jenama ‘Concept’ dianggarkan bernilai lebih RM1.6 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah premis di Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang, Selangor pada Sabtu lepas.
Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata kesemua rokok yang berjumlah lebih 2.4 juta batang itu melibatkan anggaran nilai kastam sebanyak RM367,500 dan jumlah keseluruhan duti dan cukai dianggar lebih RM1.6 juta.
“Bertindak atas maklumat dan risikan selama seminggu, sepasukan anggota kastam dari Cawangan Alor Setar menemui sejumlah rokok yang mempunyai setem cukai palsu dan disyaki tidak berkastam di dalam sebuah lori yang disimpan di dalam stor premis itu.
“Mereka menggunakan modus operandi dengan menyimpan kotak rokok yang kecil di dalam kotak besar yang lain sebelum memasukkan kotak berkenaan ke dalam guni yang tertera perkataan tepung gandum bagi mengaburi pihak penguatkuasa,” katanya kepada pemberita di Pejabat Penguat Kuasa JKDM di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati rokok buatan negara lain itu dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan di mana ia dijual dengan harga yang murah antara RM3 hingga RM4 sekotak berbanding rokok asli yang dijual antara RM10 hingga RM12.
Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat dari mana rokok ini dibawa masuk tetapi mereka mungkin menyasarkan untuk jualan di kedai-kedai kecil.
“Kita turut menahan dua lelaki tempatan berumur 36 dan 44 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur dan Perak serta seorang lelaki Indonesia berumur 45 tahun yang mempunyai status penduduk tetap dan mereka diikat jamin sebanyak RM20,000 seorang,” katanya.
Johari berkata kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua duanya sekali,” katanya. – BERNAMA