SIBU – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sibu mematahkan cubaan menyeludup 45 kontena minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai lebih RM17.47 juta melalui satu serbuan ke atas sebuah jeti persendirian di Jalan Salim-Stabau pada 5 Sept lepas.
Bertindak di atas maklumat, pasukan cawangan penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia yang melakukan serbuan pada 11.30 pagi itu menahan sebuah bot penunda bersama sebuah tongkang yang membawa 45 unit kontena yang disyaki mengandungi barangan belum lulus kastam dari luar negara.
“Pasukan itu juga menjumpai lebih 403 kotak minuman keras jenis wain di dalam sebuah gudang yang terletak berhampiran jeti berkenaan,” kata Ketua Pengarah KDRM Datuk Seri Subromaniam Tholasy pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kontena-kontena yang berada di atas tongkang mendapati 44 daripadanya mengandungi minuman keras jenis beer pelbagal jenama yang berjumlah sebanyak 76,250 karton (734,791.20 liter) bernilai RM2.42 juta dengan jumlah cukai sebanyak RM11.27 juta.
Sebuah kontena mengandungi 21,250 karton rokok putih dengan nilai RM340,000 dan jumlah cukai sebanyak RM3.10 juta sementara nilai dan cukai bagi rampasan wain di dalam gudang pula dianggarkan berjumlah RM346,956.71.
Kesemua barangan itu yang dipercayai dibawa dari Ho Chi Minh City, Vietnam disita di bawah peruntukan Seksyen 114 Akta Kastam 1967 kerana disyaki telah berlaku kesalahan di bawah Seksyen 135(1) Akta yang sama.
Menurut Subromaniam, bot penunda serta tongkang yang didaftarkan di Malaysia itu telah ditahan dan tujuh kru rakyat Indonesia serta seorang lelaki tempatan berusia antara 20 dan 46 tahun telah direman bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati barang itu dibawa dari Ho Chi Minh City, Vietnam. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..