SHAH ALAM – Polis menahan 10 pengusaha serta pekerja kedai runcit dan kedai serbaneka dalam 13 serbuan di negeri ini berhubung kes keracunan arak yang meragut 22 nyawa di Selangor sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata operasi ‘Ops Methanol’ dari Rabu hingga pukul 2 petang tadi dilakukan di premis kedai runcit dan kedai serbaneka di Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh dan Kajang.
Menurutnya, 10 individu terbabit terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita iaitu tiga warga tempatan, tiga warga Nepal, dua warga Myanmar serta dua warga India kesemuanya berusia antara 19 dan 52 tahun.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 1,021 botol arak dan 1,695 tin bir pelbagai jenama dirampas. Kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehingga pukul 8 pagi tadi, jumlah mangsa yang maut akibat keracunan alkohol di sekitar Selangor meningkat kepada 22 orang berbanding 20 mangsa semalam, manakala 22 mangsa masih menerima rawatan dan 14 telah dibenarkan keluar hospital.
Sejak Isnin lalu, selain warga asing dan tempatan yang meninggal dunia, termasuk dua di Perak, berpuluh lagi dirawat di hospital di sekitar Lembah Klang akibat keracunan alkohol. – BERNAMA