KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus berunding mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sehingga mencapai syarat yang tidak merugikan negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita telah kaji semula perjanjian itu dan mendapati banyak perkara yang merugikan kita dalam usaha membangunkan negara.
“Kita adalah sebuah negara membangun tetapi dalam kalangan negara CPTPP ini ada negara yang sudah maju…antara yang membangun dan maju tentulah tidak adil dan kita perlu mendapat layanan yang istimewa bagi yang lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan peserta semasa sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata kerajaan telah mengadakan dua kali perjumpaan dalam tempoh dua minggu ini bersama pakar untuk menentukan sama ada CPTPP itu baik atau tidak bagi negara.
“Kita telah kenal pasti apa yang tidak baik bagi kita dan kita perlu rundingan semula berkenaan peruntukan ini,” katanya.
CPTPP merupakan perjanjian perdagangan yang dirundingkan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada TPPA.
Perjanjian tersebut telah dipersetujui dan ditandatangani pada 8 Mac tahun ini.
Ia melibatkan baki 11 negara yang pada asalnya menandatangani TPPA iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata dasar terbuka dalam industri automatif yang diamalkan kerajaan terdahulu menyebabkan Proton mengalami kemerosotan dari segi jualan kereta dan tidak mampu bersaing dengan jenama daripada luar negara.
Dr Mahathir berkata, jenama negara itu telah menguasai 87 peratus pasaran di Malaysia pada satu masa dulu, namun kini Proton hanya mempunyai 17 peratus bahagian pasaran disebabkan persaingan yang disifatkan tidak adil buat Proton.
“Kita buka pasaran kita kepada semua negara lain, termasuk negara yang tidak membenarkan kereta kita masuk (dijual) di negara mereka, ini tidak adil,” katanya. – BERNAMA