KUALA TERENGGANU – Kerjasama politik dua parti umat Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu PAS dan UMNO merupakan agenda Rahmatan Lil ‘Alamin yang sebenar di sisi Islam.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, PAS perlu mengutamakan soal perpaduan Melayu Islam dan agenda dakwah sebagai suatu yang lebih penting berbanding sentimen kepartian.
“PAS harus melihat realiti politik bahawa Malaysia sangat berhajat kepada perpaduan orang Melayu Islam dalam mempertahankan agenda Islam dan maruah bangsa.
“Dengan jiwa pendakwah yang ada pada kita, kita harus berusaha memperbetulkan kefahaman pemimpin dan ahli UMNO terhadap Islam dengan cara mendekati mereka,” katanya ketika merasmi Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke 57 di Hotel Permai di sini.
Hashim berkata, PAS tidak boleh melihat UMNO dan ahlinya sebagai musuh, sebaliknya sasaran dakwah untuk memajukan lagi Islam di negara ini
Menurut beliau, menjadi tanggungjawab besar ulama dalam PAS memahamkan ahli PAS bahawa kerjasama dengan UMNO adalah perkara ‘Mutaghayyirat’.
“PAS tidak boleh bersikap keras dengan lawan politik yang juga beragama Islam,” katanya. – MYNEWSHUB.TV