KEMARAAN golongan liberal daripada pelbagai kumpulan dalam politik Malaysia sejak sedekad lalu menuntut kerjasama lebih rapat antara PAS dan UMNO bagi memastikan kuasa untuk mempertahankan dan melaksanakan Islam tidak terus terhakis.
Kumpulan seperti Sisters in Islam, Islamic Rennaissance Front, dan kumpulan lain yang bergiat melalui pelbagai platform dalam politik negara semakin lantang dan berani selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sudah dapat dilihat beberapa tindakan yang dilakukan dengan kuasa sebagai kerajaan seperti menilai semula peranan Jakim dan usaha menutup IKSIM, dan penonjolan aktivis liberal di media perdana negara yang disokong oleh menteri sendiri.
Menteri-menteri PH pula terdiri daripada mereka yang sedia mengemukakan pandangan berkaitan Islam yang lebih menyebelahi ideologi PH yang dikatakan berdasarkan prinsip rahmatan lil alamin, tetapi sebenarnya diselewengkan.
Justeru, langkah ke arah kerjasama lebih rapat antara PAS dan UMNO yang disaksikan dalam muktamar PAS ke-64 wajar dipandang positif oleh umat Islam.
Kehadiran Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tetamu yang duduk sekali dengan barisan kepimpinan PAS memberi isyarat yang baik dalam usaha membela Islam di negara ini.
Selain Ahmad Zahid, hadir sama ialah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Annuar Nasarah.
Pemimpin lain yang turut hadir ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Lokman Noor Adam.
Kerjasama ini mesti mengambil kira pendekatan “Islam memimpin” seperti yang disebut oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya.
Tindak-tanduk dan kenyataan menteri-menteri PH sudah jelas menunjukkan mereka tidak boleh diharapkan untuk membantu menjaga kedudukan Islam.
Malah, walaupun ada suara-suara menuntut pembelaan Islam dalam kalangan PH, suara itu akan segera ditutup dan dihalang oleh parti yang lebih berkuasa.
Maka ini menunjukkan PAS dan UMNO mesti mengambil tanggungjawab membela Islam dengan mewujudkan dan mengukuhkan satu kerjasama kalangan parti Melayu Islam.
Sudah tentu, pihak PH dan mereka yang berkepentingan mendukung ideologi liberal akan bimbang dan cuba menggugat kerjasama ini dengan pelbagai cara.
Seperti yang dijangka, pemimpin-pemimpin PH dan media liberal mengecam dan mempermainkan kerjasama ini.
Mereka menawarkan ulasan yang mendakwa kerjasama ini akan mengakibatkan kedua-dua parti rugi kerana penolakan rakyat.
Kerjasama yang sudah bermula dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini sudah menunjukkan tanda-tanda menjanjikan.
Kerjasama lebih rapat berdasarkan kepentingan bersama membela Islam dan orang Melayu mesti terus diperkukuhkan mulai saat ini, kerana PH dan pendukung-pendukung liberalnya terus rakus dan tidak berehat daripada agenda mereka meliberalkan negara ini. – Mynewshub.tv