MESRA… Kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ramai pimpinan utama parti itu pada Majlis Perasmian Muktamar PAS Pusat ke-64 nyata curi perhatian ramai.
Ia melakar sejarah tersendiri dalam arena politik negara yang telah melalui perubahan dramatik sejak Pakatan Harapan (PH) kuasai kerajaan pusat daripada Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Sekalipun belum ada ikatan rasmi kerjasama politik antara PAS dan UMNO atau lazim disebut sebagai tahaluf siyasi ketika wujud Pakatan Rakyat, tetapi ‘salam persahabatan’ hari ini adalah langkah setapak yang besar ke hadapan.
Ia diterjemahkan hasil daripada kemesraan yang dijalin sejak tiga pilihan raya kecil di Selangor iaitu Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia baru ini. Kali ini ia dapat dilihat di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.
Selain Ahmad Zahid, hadir sama ialah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Annuar Nasarah.
Tidak ketinggalan ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Lokman Noor Adam.
Turut curi tumpuan ialah kehadiran MIC yang diwakili oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri SK Devamany manakala Parti Cinta Malaysia pula menerusi Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan.
Kehadiran mereka telah diberi sambutan hangat dan mesra oleh pimpinan dan kalangan perwakilan Muktamar PAS itu yang dirasmikan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan dalam satu kenyataan menilai PH kini dalam keadaan resah dan kelam kabut apabila PAS dan UMNO bekerjasama memandangkan jalinan tersebut akan merugikan mereka.
Katanya komponen PH menyerang dan memfitnah kononnya PAS telah lari daripada dasar perjuangan asal apabila sanggup bekerjasama dengan UMNO yang ditentangnya selama ini sejak keluar BN pada akhir 1970-an.
“Persoalannya, PAS yang bekerjasama dengan UMNO, kenapa mereka (PH) pula yang agak resah dan jadi kelam kabut. Bukankah mereka memang mahu mengalahkan PAS untuk dapat menawan Kelantan dan Terengganu.
“Jika kerjasama PAS dan UMNO ini merugikan PAS, sepatutnya mereka sokong usaha kerjasama ini. Tapi mereka dilanda resah, justeru kerjasama ini merugikan mereka bukan merugikan PAS, PH hari ini sedang bergolak.
“Dan hubungan parti-parti komponen mereka juga tidak stabil,” kata Nasrudin dalam nada sindiran terhadap PH ketika mengulas penampilan julung kali pemimpin UMNO pada muktamar kali ini. – Agensi/Mynewshub.TV