VLADIVOSTOK – Dua lelaki yang dituduh meracun bekas perisik Rusia Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia didapati tidak melakukan sebarang jenayah, kata Presiden,Vladimir Putin lapor agensi berita Xinhua.
Beliau berkata demikian pada sidang pleno Forum Ekonomi Timur keempat di sini pada Rabu dan berharap kedua-dua lelaki berkenaan akan menjelaskan kepada pihak media.
Sebelum ini, Perdana Menteri Britain Theresa May berkata, polis dan agensi risikan mengenal pasti dua warga Rusia bertanggungjawab meracun Skripal dan Yulia di Salisbury, barat daya London pada Mac.
Terdapat kesan penggunaan agen saraf Novichok dalam serangan itu, katanya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Rusia menyangkal tuduhan itu, selain beranggapan ia tidak berasas dan tidak boleh diterima.
Kes itu mencetuskan kemelut diplomatik, membuatkan Rusia dan beberapa negara barat bertindak mengusir sebilangan besar diplomat.
Amerika Syarikat pula mengenakan sekatan ekonomi besar-besaran ke atas Rusia. – BERNAMA