BANTAH… Jika di Malaysia, kerajaan Pakatan Harapan berjaya ‘perbodoh’ jutaan pekerja dengan umum gaji minimum cuma RM1,050 berbanding janji manis RM1,500, lain pula hal di Bangladesh.
Kesatuan sekerja Bangladesh mengadakan bantahan di jalan raya untuk tolak apa yang mereka sebut sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’ apabila kerajaan negara kecil itu menetapkan upah minimum hanya RM8,000 taka (RM400).
Menurut laporan media tempatan, pihak berkuasa Bangladesh meletakkan paras gaji bulanan baharu itu terutama untuk kumpulan petugas sektor pembuatan pakaian melibatkan sejumlah empat juta pekerja di seluruh negara.
Kerajaan berkata kadar gaji minimum itu menandakan kenaikan 51 peratus dan akan dilaksanakan dari Disember depan tetapi ratusan pekerja tidak berpuas hati dan mengadakan bantahan aman di beberapa jalan utama di Dhaka.
Protes tersebut dibuat dalam masa beberapa jam sejurus pengumuman tersebut dan berikrar untuk melawan dasar baharu itu. Pemimpin kesatuan berkata mereka akan terus menentang keputusan kerajaan di seluruh Bangladesh.
Gaji minimum semasa sebanyak 5,300 taka (RM261) telah ditetapkan pada 2013 selepas sekurang-kurangnya 1,130 orang pekerja terbunuh susulan insiden tragedi kebakaran dahsyat sebuah kilang pakaian Rana Plaza di Dhaka.
“Kita tidak boleh menerima gaji baharu ini, ia memang tidak adil dan langsung tidak berperikemanusiaan, ia menipu pekerja,” kata Jolly Talukder, pemimpin kesatuan tertinggi kepada agensi berita AFP. – Mynewshub.TV